Segala puji bagi Allah.
Saat ini aku diberi peluang lagi...
Peluang untuk merenung. Dan berdialog pada diri sendiri.
Menjengah seketika jendela waktu. Sejarah nan jauh. Ia semakin menjauh, walau segar dalam ingatan.
Memori daku si anak kecil, ketika arwah Ayahanda ku masih bersama. Orangnya tidaklah tersohor. Tapi dia payung teduh ku. Dia juga suapan nasi ku. Dan dia, benang lilit ku.
1986 aku darjah 4, Sekolah Kebangsaan Che Latiff. Lokasinya bersebelahan dengan perkuburan. Hendak atau tidak, memandang kubur adalah rutin harian ku.
Hari itu Ayah membeli sebuah basikal. Dibawa pulang menjelang senja. Basikal second hand model untuk perempuan. Orang Kelantan panggil “basikal kecik”. Dibeli dengan harga RM30. Basikal itu dibasuh ayah dengan cermat. Diteliti bahagian ke bahagian yang lain. Ayah memandang ku. Lalu dia tersenyum.
Hati ku berdebar, tersenyum dan buat-buat “budak baik”. Apakah benar ramalan ku?? Adakah basikal ini akan menjadi milik ku?? Aku dah pandai mengayuh basikal.
“G, acu tera wak naik” (cuba tunggang)
Aku bertambah keriangan. Aku keliling laman rumah. Bagai orang haji mencukupkan rukun tawaf. Pusing sana, pusing sini. Mengayuh pula ke rumah sebelah, menayangkan basikal yang konon baru dimiliki.
Sreettttt... aku membrek di tangga rumah. Ibu memandang dari telaga.
“Fauzi... gi mandi nuh, Garik-garik (maghrib) nih banyok setan”
Aku memimpin basikal ke bawah rumah. Ayah menghampiri.
“Basikal tu Chek nok wi ko kak Yah mung”
Aduhh punah rasa badan.
Ayah memaut bahu ku hingga rapat akan tubuhnya.
“G, mu blaja la rajin-rajin.. Blaja biar pandai, Chek harap benar ko mu”
Aku terdiam.. Kata-katanya belum benar-benar menusuk hati ku yang bodoh keras ini.
Ayah menyambung lagi..
“Tahun ni kalu mu buleh nombor satu Chek beli basikal so” (Tahun ini kalau kau dapat tempat pertama Ayah akan belikan sebuah basikal)
Aku cuma menganguk. Diam. Berjalan ke perigi, tertunduk.
Tapi hati busuk ku hebat mempertikai janji Ayah.
“ Chek mano ado duit. Khijo hari-hari buleh brapo sen jah”....
Selang tidak lama, dalam tahun yang sama. Suatu malam ketika Ramadhan. Tidurku dikejutkan dengan bunyi bising. Celik mata ku melihat saudara terdekat dan jiran tetangga berlonggok di pintu bilik Ayah.
Darah tinggi Ayah menyerang tanpa belas. Ayah dibawa ke hostpital Kota Bharu dengan kereta Abang Nawan.
Selang tidak lama, menyambut Aidilfitri hari yang ke tiga. Ayah dibenarkan pulang oleh pihak hospital. Pulang bukan sebab sembuh. Sakit Ayah tidak berubah. Rayuan Ibu untuk Ayah dirawat di rumah dibenarkan.
Selepas bertukar bulan berikutnya. Aku menyambut peperiksaan pertengahan tahun. Pada hari peperiksaan yang ke tiga. Ayah pergi buat selamanya. Beg hijau ala tentera yang aku selalu bawa ke sekolah ku bimbit kemas.
“Fauzi mu nok gi sekolah ko?”
“Hari ni periksa”.
Aku terus melangkah. Aku mahu mengambil peperiksaan ini lebih baik dari yang sudah.
Sampai dipintu sekolah, orang ramai berkumpul di kawasan perkuburan. Aku memandang dari jauh. Dan aku terus melangkah. Nun pintu bilik peperiksan terbuka luas. Aku harus melangkah, ia menanti akan kedatangan diri aku.
Keputusan peperiksaan yang agak baik telah ku terima. Ada kepuasan dalam diri. Aku bersyukur walau tanpa basikal yang dijanjikan. Kini ku mengerti kemahuan Ayah.
Sesungguhnya yang paling dekat untuk setiap yang bernyawa itu adalah MATI. Dan yang paling jauh itu masa yang lepas.
***Seperti yang diposkan di http://melayu.com/sembang2/mesej.php?4.0000001040 ***